.
   
.
 

Utama | Profil | Aktiviti | Program | Frekuensi | Carta Lagu | DJ | Galleri | Hubungi

Interview on RTM Sabah V.fm (Part 1)

 

Profil

 

OBJEKTIF


Sabah fm wujud atas dasar bagi menggerakkan fikiran rakyat, khususnya masyarakattempatan yang terdiri daripada berbilang kaum supaya mengubah pandangan dan cara hidup mereka agar bersesuaian dengan tujuan dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu ia juga bagi memberikan liputan yang bersesuaian secara tepat, cepat dan lengkap terhadap sesebuah peristiwa dengan maksud membekalkan maklumat dan penerangan kepada rakyat. Sabah fm juga bertujuan bagi melaksanakan kempen-kempen publisiti kerajaan secara meluas dan intensif menerusi rancangan-rancangan nasional selaian dari mengadakan bahan-bahan yang sesuai untuk ilmu pengetahuan am, penerangan umum dan hiburan.


VISI STESEN

Untuk menjadi sebuah badan penyiaran Negara yang utama dan dinamik bertaraf dunia.

MISI STESEN

Menyiarkan maklumat dan program hiburan radio yang berkualiti dan berdaya saing dengan menggunakan teknologi terkini serta menepati citarasa audiens ke arah mencapai wawasan Negara.


SEJARAH

Pada tahun 1939, Radio Telefon diperkenalkan untuk ulasan selari perlumbaan kuda di Jesselton (sekarang dikenalai sebagai Kota Kinabalu) ke Sandakan. Pada tahun 1952,perkhidmatan Radio Sabah telah bermula. Logo pertama yang digunakan adalah seekor ayam jantan. Ketika inilah Radio Sabah telah dibuka dengan rasminya. Pada 9 November 1955, siaran telah dibahagikan kepada tiga bahasa iaitu Siaran Bahasa Melayu (5 jam 15 minit seminggu), Siaran Bahasa Inggeris (8 jam 30 minit seminggu) dan Siaran Bahasa Cina (5 jam 15 minit seminggu).

Pada 24 Oktober 1963, Radio Sabah telah bertukar menjadi Radio Malaysia Sabah dengan tagline Hiburan, Pendidikan dan Maklumat. Pada 22 April 1974 pula, siaran Radio Malaysia Sabah telah mempunyai tiga saluran iaitu Rangkaian Nasional dengan menggunakan Bahasa Melayu dan bersiaran selama 18 jam sehari (0600 – 0000). Rangkaian Baru dengan menggunakan Bahasa Inggeris, Kadazan, Bajau, Dusun, Murut, Cina (Mandrin dan Hakka) serta Suara Malaysia (siaran Bahasa Tagalog ditujukan khas ke selatan Filipina). Siaran Rangkaian Nasional Radio Malaysia Sabah mula beroperasi 24 jam pada 2 November 1992 dengan lapan segmen. Segmen-segmen  tersebut merupakan Hut-Hut Burung Pungguk (0000-0300), Senandung Pagi (0300-0600), Selamat Pagi Sabah (0600-0900), Rampai Ria (0900-1200), Panorama (1200-1500), Bah Apa Khabar Kita (1500-1800), Pelita Pekerti (1800-2100) dan Infoneka (2100-0000).

Siaran Bahasa Malaysia (SBM) pula diperkenalkan pada tahun 1998 dan beroperasi 24 jam dengan 8 segmen iaitu Setia Bersama (0000-0300), Senandung Murni (0300-0600), SBM 6:9 (0600-0900), Laman Famili (0900-1200), Info 12:3 (1200-1500), DDSBM (1500-1800), Pelita Pekerti (1800-2100) dan Senandung Malam (2100-0000). Sabah fm diperkenalkan pada 1 April 2005 sehingga kini. Nama baru ini diperkenalkan sempena Penjenamaan Semula 32 stesen radio RTM seluruh Negara. Sabah fm juga telah mengguna pakai tagline “Bagus Bah” bagi menampilkan pendekatan kepada masyarakat setempat.

Siaran Sabah fm beroperasi 24 jam juga dengan 8 segmen iaitu X-Tra (0600-0300), Damai Sabah fm (0300-0600), Segar Sabah fm (0600-0900), Ekspresi Sabah fm (0900-1200), Inforia Sabah fm (1200-1500), Ceria Sabah fm (1500-1800), Harmoni Sabah fm (1800-2100) dan Varia Sabah fm (2100-0000). Pada 1 April 2007, Sabah fm telah melancarkan Penjenamaan Semula Fasa Ke-2 dengan masa siaran masih lagi kekal 24 jam tetapi dengan hanya 7 segmen. Segmen-segmen ini dijaga oleh 7 orang pengelola yang bertanggungjawab. Segemn-segmen tersebut ialah X-Tra (0000-0300), Damai Sabah fm (1400-1600), Harmoni Sabah fm (1800-2100) dan Varia Sabah fm (2100-0000).

Segmen-segmen ini adalah sama dengan segmen-segmen yang diwujudkan selepas Penjenamaan Semula pada 1 April 2005, tetapi telah dilakukan beberapa pembaharuan pada segmen dari segi pengisiannya. Pada Penjenamaan Semula Fasa Ke-2, hampir 90% pembaharuan dilakukan dengan pelbagai rancangan baru telah diwujudkan dan juga kelainan dari segi format susunan lagu, penyampaian serta penyampai bagi semua segmen telah disusun semula bagi memantapkan segmen kendalian mereka. Sabah fm juga masih lagi mengekalkan tagline Sabah fm, Bagus Bah memandangkan populariti tagline ini telah menaikkan nama Sabah fm dan meletakkan Sabah fm sebagai pilihan utama warga Sabah.

MASA SIARAN
Sabah fm beroperasi 24 jam sehari dengan 7 segmen. Masa siaran segmen-segmen tersebut ialah X-Tra (0000-0300), Damai Sabah fm (0300-0600), Segar Sabah fm (0600-1000), Ekspresi (1000-1400), Ceria Sabah fm (1400-1600), Harmoni Sabah fm (1800-2100) dan Varia Sabah fm (2100-0000).

BAHASA SIARAN
Sabah fm bersiaran sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.
 

 

   


Utama | Profil | Aktiviti | Program | Frekuensi | Carta Lagu | DJ  | Galleri  | Hubungi